Sunday, 12 June 2011

Rasulullah SAW telah melihat satu lilitan seperti gelang(halaqah) yang dipakai pada tangan seorang lelaki, lalu baginda SAW bertanya lelaki itu, " Apakah yang kamu pakai ini?" Lelaki itu menjawab, "Aku menjadikannya sebagai pendinding atau pengadang diriku daripada sebarang kelemahan. " Lalu Baginda bersabda kepadanya,"Buanglah ia kerana sesungguhnya, benda-benda seperti ini, tidak akan menambahkan kepadamu melainkan kelemahan jua, sekiranya kamu mati dalam keadaan memakai benda seperti ini, kamu tidak memperolehi kejayaan selamanya".
 
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya jampi, tangkal dan sihir adalah syirik." (Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, Baihaqi dan A1-Hakim)
 
Ulamak telah berkata, jampi adalah harus dengan tiga syarat:
1. Dengan menyebutkan Allah taala atau salah satu nama-Nya.
2. Dengan bahasa Arab dan apa yang dapat difahami maknanya.
3. Meyakini bahawa perkara itu tidak dapat memberi kesan secara tersendiri, bahkan adalah dengan ketentuan Allah jua.
 
Tangkal pula masih banyak digunakan oleh manusia. Saudara yang bertanya telah menamakannya sebagai "al-Jamiah". Setengah orang namakannya "al-Hirz" atau "al-Hijab" dan sebagainya. Kesemua ini ditegah oleh Islam.
 
Satu rombongan seramai sepuluh orang telah datang untuk berbai'ah dengan Rasulullah, tetapai baginda hanya menerima sembilan orang daripada mereka untuk berbai'ah dan mengecualikan seorang daripada mereka. Ketika ditanya, Rasulullah menjawab: "Di lengannya terdapat tangkal". Setelah dibuang tangkal tersebut barulah Rasulullah menerima baiah daripadanya.
 
Seterusnya baginda bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang menggantungkan tangkal, sesungguhnya dia telah syirik."
Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad, Hakim dan Abu Ya'la dengan sanad yang baik. (Maksud hadis ini salah menggantungkan tangkal dan hatinya yakin terhadap kekuatan tangkal itu.)
 
                                                                       
Mengenai tangkal atau azimat daripada al-Quran, setengah-setengah ulamak mengecualikannya, tetapi larangan ke atasnya adalah lebih wajar kerana terdapat beberapa dalil yang menguatkannya:
 
1. Hadis yang membawa tegahan adalah dalam bentuknya yang umum. Tidak dibenakan antara satu bentuk tangkal dengan yang lain. Ketika Rasulullah menegah seorang lelaki memakai tangkal, baginda tidak berkata kepadanya adakah tangkal itu daripada al-Quran atau tidak. Sebaliknya baginda menegah pemakaian tangkal dalam apa jua bentuknya.

2. Berdasarkan prinsip menutup pintu-pintu keburukan. Sesungguhnya sesiapa yang menggantungkan al-Quran sudah tentu akan menggantungkan yang lain pula. Orang yang melihatnya tidak mengetahui sama ada al-Quran atau tidak.

3. Ini merupakan penyalahgunaan al-Quran. Pemakai akan memasuki tempat bernajis, qadial hajat, beristinjak dan berada dalam keadaan janabah atau haid (bagi perempuan), sedangkan tangkal itu sentiasa terikat pada badannya.

Berdasarkan kepada hujah di atas, yang sahihnya, tangkal tidak dibenarkan. Rasulullah telah bersabda yang bermaksud kepada orang yang menggantungkan tangkal:
"Sesiapa yang menggantungkan tangkal, maka tidak akan disempurnakan Allah baginya. Sesiapa yang mengikat azimat maka tidak ada pertolongan Allah baginya."
Inilah pengajaran Islam. Menjadi kewajipan bagi saudara yang bertanya membawa isterinya kepada doktor, sama ada doktor itu sendiri mengubatinya atau menyerahkannya kepada doktor yang pakar mengenai penyakit itu.
Mungkin keadaannya itu disebabkan oleh urat sarafnya kerana sawan dan sebagainya. Semestinya dia membawa isterinya menemui doktor supaya diubati. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Berubatlah wahai hamba Allah. Sesungguhnya Allah tidak menjadikan suatu penyakit kecuali dijadikan juga ubatnya".
(Diriwayatkan oleh Ahmad, Ashabussunan, Ibn Hibban dan Al-Hakim. Tarmizi mengatakan hadis ini adalah hadis sahih.)
 
Dalam sahih Bukhari, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya pengubatan itu adalah dengan tiga cara: Minum madu, berbekam dan besi panas."

Tidak berlaku kesembuhan pada tangkal, bacaan dan sebagainya. Sebaliknya ia terdapat pada perkara tabii iaitu semua kaedah perubatan yang dimasukkan menerusi mulut, termasuk juga penggunaan jarum (injection), berbekam (pembedahan) dan besi panas (sekarang ini penggunaan tenaga elektrik). Inilah antara kaedah-kaedah perubatan yang dibawa oleh Islam dan disyariatkan oleh Rasulullah.

Rasulullah berubat, berbekam dan dibawakan doktor kepadanya. Baginda menyuruh sahabat-sahabat dan umatnya supaya berubat. Maka lebih utama kita mengikuti sunah Rasulullah s.a.w.

Kita berdoa kepada Allah supaya menunjuki kita apa yang diredainya, menyempurnakan petunjuk yang lurus dalam urusan kita ini dan memberi kefahaman kepada kita mengenai urusan agama hingga kita dapat mengetahui jalan yang lurus.

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan amat hampir.

No comments:

Post a Comment